Friday, December 09, 2011

innalillah...


BAGAN SERAI: Baru beberapa jam memijak bumi Malaysia sekembali dari Tanah Suci Makkah dan belumpun sempat tiba di rumah, ajal terlebih dulu menjemput seorang pesara selepas kereta dinaikinya terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke kampung, awal pagi semalam.

Abdul Rashid Ideris, 62, maut di tempat kejadian selepas kereta dipandu anaknya, Muhd Syahril, 30, merempuh sebuah lori ketika di Kilometer 263.3, Projek Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah utara, dekat sini, pada jam 1.30 pagi.

Dalam kejadian itu, kereta Honda Accord dinaiki mangsa bersama isteri, Rahmah Mat Saboot, 59, dan tiga anaknya merempuh belakang lori ketika mendaki bukit berhampiran Terowong Menora.

Bagaimanapun, Rahmah, dan tiga anaknya, Muhd Syahril, Anis Diana, 24, serta Muhd Ridzuan, 15, hanya cedera ringan.

Abdul Rashid dan Rahmah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, jam 7.30 malam kelmarin selepas menunaikan haji di Makkah dan ketibaan pasangan itu disambut tiga anak mereka.

Mereka sekeluarga bergegas pulang ke Taman Alor Pongsu, di sini, kerana tidak mahu menghampakan sanak-saudara dan rakan arwah yang menanti di rumah.

Ketika kejadian arwah masih lengkap berjubah hijau, manakala Rahmah berbaju kurung biru dan bertelekung.

Menurut Rahmah, sepanjang berada di Makkah, suaminya tidak menunjukkan sebarang perubahan sebaliknya tidak sabar untuk pulang bertemu keluarga.

“Sebaik pesawat mendarat, arwah memaklumkan tidak sabar bertemu saudara-mara dan rakannya. Bagaimanapun, saya sedih hajatnya tak kesampaian,” katanya.

Rahmah berkata, Abdul Rashid bersara dari Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) enam tahun lalu dan begitu gembira selepas mendapat tawaran mengerjakan haji tahun ini.

“Sepatutnya, kami bergembira menerima kunjungan saudara-mara dan sahabat-handai selepas pulang dari Makkah. Namun, kegembiraan itu bertukar majlis tahlil,” katanya.

Sementara itu, Anis Diana berkata, dia bersama adiknya (Muhd Ridzuan) serta ibunya duduk di tempat duduk belakang, manakala arwah di tempat duduk penumpang hadapan dengan Muhd Syahril memandu kenderaan itu.

“Ketika kejadian, saya dan adik tertidur, tetapi terjaga selepas mendengar dentuman kuat. Ketika itu, saya lihat abang cedera di tangan kanan, manakala arwah bapa tidak sedarkan diri,” katanya.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ipoh, Deputi Superintendan Wan Sharudddin Wan Omar ketika dihubungi berkata, kereta dinaiki mangsa melekat pada bahagian bawah lori berkenaan dan remuk teruk di bahagian depan menyebabkan mangsa tersepit di tempat duduk penumpang hadapan.

Menurutnya, pemandu lori bermuatan kelengkapan pejabat itu bagaimanapun tidak cedera.

“Mayat mangsa dibawa ke Bilik Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat manakala empat mangsa lain hanya mendapat rawatan sebagai pesakit luar,” katanya.

Jenazah Abdul Rashid selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Alor Pongsu selepas solat Zuhur semalam.


3 comments:

Mokcik Ann said...

Innalillah wa inna ilahirajiun.. sesungguhnya dari Allah kita datang, dan kepada Dia juga kita akan kembali.

haney said...

innalillah.. da sampai ajal dia. takziah buat keluarganya

Unknown said...

innalillah..sedih plak baca yg ni..