SUSU IBU KHASIATNYA TIDAK TERNILAI
KELAHIRAN bayi bermulanya detik indah kehidupan. Rumah tangga anda dilimpahi cahaya. Kehadiran si manja mengeratkan jalinan kasih suami isteri. Kini tanggungjawab anda berdua menyempurnakan hidupnya. Menyusui bayi dengan susu sendiri permulaan paling bermakna. Segunung kebaikan dan ganjaran menanti bayi anda. Ganjaran bukan hanya untuk bayi malah diri anda juga.
Menyusu bayi dengan susu ibu langkah penting ke arah perkembangan dan pembesaran bayi yang sihat. Pengalaman unik ini telah dilalui wanita sejak permulaan zaman lagi. Ajaibnya kuasa Tuhan. Sebaik bayi dilahirkan proses pengeluaran susu juga bermula. Jangan sia-siakan kurniaan berharga ini. Susuilah bayi anda dengan penuh kasih sayang. Andai ini pengalaman pertama, timbalah ilmu dan dapatkan pengetahuan daripada mereka yang berpengalaman.
Susu ibu berperanan penting dalam tumbesaran anak. Khasiatnya besar. Mampu menjauhkan penyakit sekali gus menyihatkan anak. Banyak kajian dilakukan di serata dunia untuk membuktikan kelebihan susu ibu yang tidak dapat diperolehi daripada susu formula. Tuhan telah menentukan susu ibu untuk anak manusia. Malah Dia telah berpesan dalam firmanNya dalam surah AlBaqarah ayat 223, surah Luqman ayat 14 dan surah Ahqaaf ayat 15. Ketiga-tiga ayat dalam surah berlainan ini menyebut ibu hendaklah menyusukan anaknya selama dua tahun iaitu bagi mereka yang ingin menyempurnakan susuan. Agama Islam pula ada menggambarkan pembalasan di hari akhirat bagi ibu-ibu yang enggan menyusu anak dengan sengaja "maka berdatanganlah ular menggigit kedua-dua belah buah dada wanita itu."
Susu ibu menyelamatkan nyawa
Risiko kematian bayi dan kanak-kanak kecil di negara membangun meningkat 10 hingga 15 kali bagi mereka yang tidak menyusu badan pada usia tiga bulan pertama. Kebanyakan kematian berpunca penyakit cirit-birit yang serius.
Kajian pula menunjukkan 40,000 kanak-kanak meninggal dunia setiap hari (28 orang setiap satu minit) di negara-negara membangun. Mereka adalah mangsa kekurangan zat makanan.
Untuk itu United Nations International Childrens Fund (UNICEF) telah mengenal pasti tujuh cara berkesan menyelamatkan jutaan nyawa kanak-kanak. Salah satu caranya adalah meningkatkan kadar penyusuan susu ibu di kalangan ibu-ibu.
Meskipun angka kematian begitu tinggi di negara-negara membangun dan mundur ini tidak bererti negara maju terkecuali. Di Amerika dan barat Eropah banyak kes Sudden Death Of Unknown Cause (SIDS) atau Cot Death dilaporkan berlaku. Dan kajian menunjukkan kebanyakan mereka yang meninggal akibat ini terdiri daripada kanak-kanak menvusu botol.
Oleh demikian kempen penyusuan ibu amat digalakkan di negara mundur sebagai pilihan untuk tidak menyusu botol kerana sistem bekalan air di negara tersebut tidak bersih. Walaupun penyusuan botol di negara kita selamat dan terjamin, penyusuan ibu tetap yang terbaik.
Mengapa tidak menyusu?
Menurut Penolong Pengarah Zat Makanan Kementerian Kesihatan Malaysia, Puan Rokiah Don, kadar penyusuan ibu di kalangan ibu-ibu bekerja terutamanya di kawasan bandar menurun. Antara faktor yang mempengaruhi atau menghalang ibu-ibu untuk terus menyusui bayi adalah kecetekan pengetahuan, tiada pengalaman dan tiada sokongan. Banyak memberi alasan menyusu badan tidak praktikal, menyusahkan, letih, suami tidak dapat memainkan peranan, bimbang kesihatan diri terjejas dan tidak yakin bayi mendapat bekalan susu mencukupi. Malah ada yang bimbang buah dada akan melendur.
Sekiranya anda salah seorang yang menghuraikan alasan tersebut, jelas pengetahuan anda mengenai susu ibu terlalu cetek. Tempoh dua tahun bagi yang menyempurnakan susuan atau sekurang-kurangnya enam bulan pertama amat berharga. Bukankah anak itu anugerah Tuhan yang tidak ternilai, mereka berhak mendapat makanan terbaik.
Khasiat dan kebaikan susu ibu
Susu ibu merupakan makanan dan minuman terbaik untuk bayi terutamanya sejak lahir hingga bayi berusia enam bulan. Ia mengandungi semua khasiat dalam imbangan yang betul. Sebaik selepas melahirkan, susu pertama kental berwarna kekuningan. Susu ini dinamakan kolostrum. Khasiatnya amat tinggi. Kandungan proteinnya tiga kali ganda melebihi susu ibu biasa. Ia mengandungi antibodi yang tinggi serta lebih sel darah putih.
Kolostrum mampu melawan jangkitan pelbagai penyakit seperti cirit- birit, selesema dan radang paru-paru. Malah ia bertindak sebagai imunisasi pertama. Ibu-ibu digalakkan kerap menyusui ibu pada hari-hari pertama kelahiran bagi membekalkan kolostrum secukupnya pada bayi. Sesetengah ibu tidak mahu memberikan susu mereka pada bayi pada waktu ini kerana menurut mereka susu belum ada. Kekeliruan ini merugikan kerana bayi seharus mendapat kolostrum sebanvak mungkin.
Teknologi moden cuba meniru merumus susu formula agar menyamai susu ibu. Namun sehingga kini khasiat dan kebaikan yang terkandung di dalam susu ibu tidak dapat disamai apalagi untuk ditandingi. Antara kebaikan susu ibu adalah ia mengandungi zat makanan dalam nisbah yang betul dan isi kandungannya berubah mengikut keperluan bayi membesar. Komposisi zat dan vitaminnya sesuai dan mencukupi untuk bayi. Ia mengandungi enzim lipase yang menghadamkan lemak.
Susu ibu bersih dan bebas bakteria. Selain itu ia mengandungi anti jangkitan yang melawan pelbagai jangkitan penyakit. Antaranya sel darah putih hidup (leucocytes) yang membunuh bakteria. Antibodi (immunoglobulins) mampu menentang jangkitan penyakit biasa sehinggalah bayi berupaya membentuk antibodinya sendiri. Sekiranya si ibu mempunyai jangkitan, antibodi yang dapat melawan jangkitan tersebut akan hadir di dalam susu ibu.
Kita kerap melihat bayi kecil menangis tanpa henti berjam-jam lamanya. Besar kemungkinan perutnya kembung. Sekiranya bayi menyusui ibu sepenuhnya pada usia tiga bulan, masalah ini dapat diatasi. Ini kerana terdapat bahan dinamakan bifudus factor membantu bakteria istimewa Lactobasillus bifidus membiak dan menentang bakteria yang menyebabkan diare atau cirit-birit. Selain diare, susu ibu berjaya menentang jangkitan penyakit biasa seperti enzema, lelah dan sembelit.
Susu ibu tersedia bila-bila masa pada suhu badan dan sentiasa steril. Susu tepung akan masam selepas beberapa jam tetapi susu badan tidak pernah rosak walaupun bayi tidak menetek beberapa hari. Kebaikan susu ibu bukan sekadar menjadi penawar dan bertindak sebagai tembok menghalang penyakit malah ia mampu meningkatkan kecerdasan otak bayi. Dua kajian terbaru Cambridge di England dan Flinders Australia membuktikan bayi yang disusui badan, kecerdasan IQnya mampu mencecah tahap tujuh hingga 10 mata melebihi IQ biasa.
Dan kajian dari Holland menunjukkan susu ibu mengandungi Asid Docosahexanoic dan Asid Arachidonic yang tidak diperolehi dalam susu tiruan berguna untuk pertumbuhan sistem tumpuan nervous.
Susu ibu menguntungkan wanita
Perkara paling ditakuti wanita selepas bersalin adalah mengembalikan bentuk badan asal. Banyak mengeluh badan mereka susah turun terutama bahagian perut dan punggung. Ini berita baik. Dengan menyusu bayi dengan susu badan anda boleh melangsingkan badan dibantu dengan sedikit senaman.
Semua tahu, sewaktu mengandung rahim mengembang dan selepas melahirkan anak ia mengambil masa untuk kembali ke saiz asalnya. Dengan menyusui bayi, sejenis hormon dipanggil Oxytocin yang dirangsangkan melalui hisapan bayi membantu rahim mengecut lebih cepat. Ia juga mengurangkan risiko pendarahan berlebihan dan risiko mendapat kanser buah dada juga ovari.
Penyusuan ibu dengan sepenuhnya selama enam bulan pertama mampu menunda kedatangan haid. Andai berhubungan dengan suami ketika itu 98 peratus kehamilan dapat dielakkan. Secara tidak langsung menyusu badan menjadi salah satu kaedah berkesan merancang keluarga.
Selain kebaikan daripada segi fizikal dan kesihatan, penyusuan badan menawarkan kebaikan lain yang lebih istimewa. Naluri keibuan lebih menyerlah, ikatan kasih antara anak dan ibu terjalin. Di dalam proses menyusui, sejenis hormon dipanggil prolaktin terhasil dalam badan ibu. Hormon ini dapat mempengaruhi dan merangsangkan perasaan keibuan.
Sewaktu menyusu juga bau ibu, sentuhan dan wajah akan terakam pada ingatan bayi yang masih kecil itu. Proses penyusuan membantu bayi lebih mengenali ibu dan paling penting mereka dapat merasakan kehangatan kasih si ibu. Anak akan lebih mesra dan kasih sayang mereka lebih mendalam pada ibu.
Kalau kita melihat si ibu terpaksa bersusah payah menyediakan peralatan membancuh susu ketika berjalan, ibu yang menyusu badan hanya perlu membawa diri mereka sahaja. Mereka juga tidak perlu bimbang kehabisan air untuk membancuh susu andai terperangkap di dalam kesesakan jalan raya. Susu badan sedia ada, bersih dan terjamin selamat. Susu badan dapat menjimatkan kos belanja, masa dan tenaga.
Tanggapan banyak buah dada jatuh atau melendur kerana menyusu badan juga kurang tepat. Bentuk buah dada berubah semasa hamil dan mungkin mereka tidak bercoli, diikuti tarikan graviti ataupun usia semakin lanjut. Untuk itu pastikan ibu-ibu memakai coli sesuai sepanjang tempoh kehamilan dan sewaktu menyusui bayi